Monday, 5 June 2017

Masjid Putra Masjid Dalam Taman

Kebetulan ada kerja dekat Putrajaya. Puasa hari ke enam berbuka di Masjid Putra di Putrajaya. Berbuka di sini tidak akan pernah jemu dengan panorama senja yang memukau sesiapa sahaja yang menghayatinya. Pemandangan di sekeliling masjid ini sangat indah bak lukisan. Dari mana sudut pun memandangnya tidak ada cacat celanya, semuanya menarik untuk dipandang. Masjid yang menjadi tumpuan pelancong ini sangat menonjol dengan corak dan warna merahnya yang terang dan terletak di tepi tasik buatan ini. Bukan saja saiznya yang besar, tetapi lengkap dengan segala kemudahan yang tiada pada masjid biasa. Di aras bawah masjid lengkap dengan pejabat masjid, perpustakaan, bilik auditorium, bilik pengurusan jenazah, kelas pengajian, kediaman kakitangan, parkir kakitangan, dan banyak lagi kemudahan seperti masjid-masjid yang lain. Kalau lepas berbuka tu boleh la meneroka sambil membakar kalori yang berlebihan sementara menunggu waktu isyak.

Masjid Putra

Kubah yang cantik

Pintu Gerbang Besar

Sisi kanan masjid

Sisi kiri masjid


Berbuka di sini agak sesak kerana selain jemaah tempatan, ramai juga yang kelihatan seperti orang asing. Lebih baik datang awal untuk memilih tempat terbaik. Berbuka dengan hidangan ringan terlebih dahulu dan selepas solat baru diberi hidangan berat. Piring berbuka telah disusun di atas tikar yang telah diisi kuih dan buah kurma dimana satu piring adalah untuk empat orang. Air minuman perlu ambil sendiri di meja air. Pukul 7 petang sudah boleh mengambil tempat untuk menunggu waktu berbuka. Sementara itu, boleh la berkenalan dengan orang sebelah sambil berbual-bual pengalaman masing-masing.

Menu berbuka

Tempat makan belah kanan masjid

Menu berbuka


Selepas solat maghrib barulah dapat makan nasi yang disediakan secara buffet oleh katering yang dilantik. Agak teratur juga penyediaan mereka dimana meja makanan diatur agar senang para jemaah beratur untuk mengambil makanan. Air basuh tangan disediakan dalam bekas air bersama sabun. Ada lebih lima meja makanan disediakan agar proses mengambil makanan tidak terlalu lama dengan jemaah yang ramai beratur. Namun begitu, tetap lama sekiranya berada di belakang sekali hingga mengambil masa 20 minit dimana orang yang pertama dapat makan sudah habis, yang belakang belum tentu dapat makanan lagi. Oleh itu, ramai jemaah yang selepas salam sudah bangun tanpa sempat mengaminkan doa untuk beratur di depan. Hingga ramai yang memilih untuk solat disebelah kanan masjid dimana lebih dekat dengan meja makanan walaupun saf di sebelah kiri belum penuh. Walau bagaimanapun, biarpun ramai, menu yang ringkas, dan tunggu lama untuk mengambil makanan, berbuka puasa di sini tetap berbaloi kerana makanannya yang sedap dan pemandangan yang memanjakan mata ketika enak menjamu selera. 

Pemandangan belah kiri masjid


Ruang solat utama

Menu utama yanng ringkas


Solat terawih di sini diimamkan oleh imam tahfiz yang bacaannya sangat merdu hinggakan solat terawih 20 rakaat tidak terasa. Ditambah pula ruang solatnya yang berpenghawa dingin dan dihias indah bak istana, terasa sungguh selesa. Mungkin disebabkan kurangnya parkir, jemaahnya tidak sampai separuh penuh pun ruang solat utama. Namun, jemaah tetap ramai kerana besarnya masjid ini. Selepas terawih, ada moreh iaitu kuetiau goreng pada malam ini dengan kopi'o panas. Walaupun perut belum terasa lapar, tetap menjamah sedikit untuk rasa dan menikmati panorama malam. Dah makan, apa lagi, pulang.


No comments:

Post a Comment