Monday, 12 June 2017

Berbuka di Surau Ar-Rahim Presint 15 Putrajaya

Hari kedua belas berpuasa berbuka di Surau Ar-Rahim, Presint 15, Putrajaya. Surau ini berdekatan dengan rumah seorang kawan yang mengajak untuk berbuka di sini. Walaupun dipanggil surau, rekabentuk dan keluasannya sudah boleh dipanggil masjid sebenarnya. Surau yang baru siap ini memang cantik terutama di waktu senja. Surau ini mempunyai parkir yang terhad dan kawasan parkir itu pula sudah dipasang khemah untuk dijadikan tempat berbuka. Boleh la parkir di tepi jalan kerana ini adalah kawasan perumahan yang tidak banyak lalu lintas terutama di waktu malam.

Surau Ar-Rahim

Ruang legar belakang

Khemah berbuka dan moreh

Sebelum berbuka, ada acara tahlil di dalam masjid yang di bawa oleh imam masjid yang agak muda. Di samping itu, imam juga ada menyelitkan kata-kata nasihat sepanjang tahlil tersebut. Dalam 10 minit sebelum masuk waktu berbuka barulah habis baca doa. Kalau masjid lain, 30 minit dah siap ambil makanan. Mungkin tak perlu tergesa-gesa kerana orang pun tak ramai kerana surau sahaja. Walaupun surau, makan kat sini sungguh mewah dan disediakan meja makan di bawah khemah. Kat sini mengamalkan solat dulu sebelum makan nasi dimana berbuka dengan buah kurma dan hidangan ringan terlebih dahulu. Tetapi tak ringan sangat kerana hari ini disediakan mee goreng yang sedap dan boleh ambil sendiri ikut suka banyak mana pun.

Menu berbuka

Meja makanan

Menu utama


Selepas solat barulah dapat makan nasi yang sangat istimewa hari ini kerana salah satu lauknya adalah sup gearbox yang juga boleh ceduk sendiri ikut suka walaupun ada tukang ceduk kerana tak sempat tangan. Lauk lain adalah kari ayam dan gulai kuning pucuk rebung. Bukan sahaja penduduk setempat yang berbuka kat sini, ramai juga warga asing yang turut menumpang kezeki yang melimpah di masjid ini. Mungkin kerana masjid ini berdekatan dengan kuarters pegawai kerajaan yang pangkatnya agak tinggi, oleh itu makanannya agak mewah. Makan sampai nak masuk isyak kerana solat maghrib agak lewat.

Ruang solat utama

Moreh

Solat terawih kat sini hanya dibuat lapan rakaat. Memang cepat habis kerana imam baca agak cepat dan ayat yang pendek. Bagus juga cepat habis, kerana surau ini tiada penghawa dingin. Tetapi tidak la panas sangat kerana orang pun tidak terlalu ramai. Habis terawih, masih ada moreh yang juga mewah dengan pelbagai kuih-muih. Walaupun tidak lapar, kena juga tengok apa yang disediakan. Jadi, ambil la dua ketul kuih untuk dirasa. Surau ini boleh dikatakan terbaik untuk berbuka puasa dan solat terawih.


No comments:

Post a Comment