Berbuka Bersama Kawan di Masjid Al-Hidayah Taman Melawati
Hari ke-13 berpuasa, berbuka di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati, Hulu Kelang. Masjid ini berdekatan dengan tempat kerja dan selalu solat jumaat di sini. Masjid ini masih baru dan rekabentuknya agak menarik. Kalau sebelum ini hanya ada kipas syiling gergasi, sekarang telah dipasang penghawa dingin berpusat. Kawasan ini kebanyakkannya adalah orang berada, tak jadi masalah la kot untuk buat kutipan bagi memasang penghawa dingin walaupun kipas syiling gergasi itu pun baru sahaja dipasang tidak sampai tiga tahun.
|
Bahagian depan masjid |
|
Bahagian belakang masjid |
Berbuka di sini agak seronok kerana makanannya boleh tahan sedap dan banyak lauk. Makan pula diatas meja bulat dan di bawah khemah. Cuma lauk tak boleh ceduk sendiri kerana ramai juga jemaah yang datang dan ada yang pentingkan diri yang mengambil secara berlebihan walaupun tahu masih ramai orang kat belakang. Ditambah dengan warga asing yang agak ramai juga dan kadang-kadang lebih gelojoh dari orang tempatan. Hinggakan orang yang menjaga meja makanan terpaksa memberi amaran berkali-kali agar tidak mengambil berlebihan. Ada juga bubur lambuk dan kuih untuk berbuka. Berbuka dengan nasi dahulu dan kemudian baru solat maghrib.
|
Khemah tempat berbuka |
|
Menu berbuka |
Selain rumah penduduk , terdapat banyak bangunan kedai dan pejabat di sekitar masjid ini dan ada bangunan yang dalam pembinaan. Mungkin itulah sebabnya warga asing dan pekerja pejabat agak ramai yang berbuka di sini. Kalau dulu, makanan dibungkus dalam bekas plastik dan diberi selepas solat maghrib. Sekarang, makan dahulu lagi baik kerana jemaah tak perlu berebut untuk mengambil makanan selepas solat. Makan dalam pinggan lagi bagus dan tidak perlu mencemarkan alam dengan bekas plastik yang banyak dibuang.
|
Ruang solat utama |
|
Moreh |
Solat terawih di sini dibuat sebanyak 20 rakaat. Jemaahnya boleh tahan ramai juga kerana ruang solat utama yang berpenghawa dingin penuh hingga ada solat di luar. Cuma bila habis lapan rakaat, cuma tinggal beberapa saf sahaja. Moreh selepas terawih pun juga sedap dimana hari ini dapat makan mee goreng dan air jagung. Licin mee goreng kerana semua ceduk sendiri ikut suka hati. Siapa yang lambat, minum air sajalah.
No comments:
Post a Comment