Tuesday, 30 May 2017

Pertama Kali Berbuka Di Masjid UNITEN

Pernah beberapa kali solat di masjid UNITEN tetapi inilah kali pertama merasai pengalaman berbuka di sini. Masjid ini agak besar tetapi jalan masuknya agak terlindung dan ruang parkingnya tidak banyak. Kedudukan masjid ini yang terletak di tepi tasik memberi pemandangan yang agak menarik walaupun senibinanya agak biasa tetapi praktikal dimana terdapat ruang solat di atas dan di bahagian bawahnya adalah ruang serbaguna dimana di bulan ramadan dijadikan ruang makan yang besar. Ruang solat utama dilengkapi dengan penghawa dingin berpusat dan karpet yang lembut. 

Masjid UNITEN

Pandangan tepi

Di sini berbuka terus dengan menu utama iaitu nasi yang dihidang secara buffet. Tetapi tak perlu beratur panjang kerana kaunter makanan banyak walaupun jumlah orang yang berbuka sangat ramai sehingga penuh ruang bawah masjid. Rata-rata terdiri daripada pelajar UNITEN sendiri. Maklum la nak berjimat. Cuma kalau yang datang lewat boleh jadi lauk atau nasi habis. Yang bagusnya di sini, ada orang yang susun kedudukan tetamu dimana seawal pukul 6.45 petang sudah boleh ambil makanan dan tempat duduk bemula barisan hujung dan setelah penuh baru boleh duduk di barisan seterusnya. Nampak sangat teratur dan menjimatkan ruang. Tambahan pula sudah dibahagikan diantara kedudukan muslimin, muslimat dan keluarga. 


Kaunter makanan yang teratur

Menu yang disediakan

Susun atur kaunter makanan juga nampak sangat teratur dan senang untuk mengambil makanan yang mana tidak sesak walaupun jumlah orang yang ramai. Makanan juga menarik dan sedap serta boleh ambil sendiri. Ada orang yang akan jaga kaunter makanan untuk memastikan kelancaran proses mengambil makanan oleh tetamu dan memastikan lauk ditambah sekiranya hendak habis. Lauknya gulai ayam, sayur campur, sambal, buah tembikai dan buah kurma. Walaupun tak banyak jenis, tapi ayam dia agak besar. Air adalah kordial perasa oren. Lepas makan barulah solat maghrib berjemaah. Walaupun ramai, tempat ambil wuduk tidak sesak sangat kerana ada banyak di sekeliling masjid.

Kedudukan tetamu yang tersusun rapi

Betapa ramainya orang berbuka kat sini

Lepas maghrib, ada bacaan al-quran sementara menunggu waktu masuk isyak. Solat terawih kat sini nampak agak ramai kerana hampir penuh ruang solat utama termasuk muslimat. Tapi hanya lebih dua tiga saf sahaja dari solat maghrib untuk muslimin kerana ramainya orang berbuka kat sini. Solat maghrib dan macam solat terawih. Terawih hanya 8 rakaat dan ditambah dengan solat sunat witir, sebelum pukul 10 sudah habis. Bacaan imam dia boleh tahan juga. Moreh tidak disediakan. Jadi, malam ni balik awal.
Jemaah solat maghrib

No comments:

Post a Comment