Sunday, 28 May 2017

Terawih Malam Pertama Ramadan

1 Ramadan 1438 hijrah, masjid pertama yang menjadi pilihan untuk melaksanakan solat terawih adalah Masjid Putra, Putrajaya. Masjid ini menjadi pilihan kerana keselesaannya untuk beribadah serta senibinanya yang cantik. Serta pemandangan sekitar yang menarik yang dikelilingi tasik.

Masjid Putra
  

Hari pertama Ramadan, di mana-mana masjid pun berdekatan kawasan perumahan pasti akan penuh sesak dengan para jemaah. Ada yang sampai melimpah keluar masjid. Kalau masjid yang tiada penghawa dingin, sudah pasti kepanasan kerana terlalu ramainya jemaah. Yang ada penghawa dingin juga mungkin tidak cukup sejuk kecuali yang memasang sistem berpusat. Kalau setakat untuk solat isyak sahaja boleh tahan lagi. Tapi, untuk terawih sekali yang mungkin lebih satu jam, lebih baik cari masjid yang lebih selesa terutamanya di awal Ramadan.



Masjid Putra yang sememangnya luas, walaupun di awal Ramadan tidak sampai separuh pun ruang solat utama dipenuhi jemaah. Dengan dewan solat utama yang dipasang penghawa dingin, karpet lembut, dan jemaah yang tidak melimpah, isu keselesaan sudah pasti tidak menjadi penghalang untuk beribadah. Bukan setakat lapan rakaat, dua puluh rakaat pun tidak terasa penat. Tambah pulak dengan bacaan merdu imam tahfiz yang mengalunkan ayat-ayat suci Al-quran. Walaupun begitu, ramai yang hanya buat lapan rakaat sahaja. Yang buat dua puluh rakaat hanya tinggal tiga saf. Disini bukan isu keselesaan yang menjadi persoalan, mungkin kerana ingin balik awal atau tanya iman masing-masing.

Ruang Legar


Lepas habis terawih, siap ada moreh lagi walaupun untuk malam pertama. Malam ni makan bubur lambuk yang ada daging dalamnya. Rasanya memang sedap tidak seperti di masjid yang lain. Kat sini, setiap jamuan makan disediakan oleh katering. Oleh itu nampak sangat teratur pengurusannya. Makan sambil menikmati pemandangan malam di Putrajaya yang penuh bercahaya sememangnya satu pengalaman yang mengasyikkan. Ini kerana, makanan disediakan di ruang legar sebelah tepi dan kita boleh memilih untuk makan di tempat yang tidak berbumbung. Lepas makan, terus balik kerana jam sudah menunjukkan pukul 11 malam. Mungkin ini bukan malam yang terakhir  ke masjid ini. Ada kesempatan, datang lagi.

No comments:

Post a Comment