Tuesday, 30 May 2017

Pertama Kali Berbuka Di Masjid UNITEN

Pernah beberapa kali solat di masjid UNITEN tetapi inilah kali pertama merasai pengalaman berbuka di sini. Masjid ini agak besar tetapi jalan masuknya agak terlindung dan ruang parkingnya tidak banyak. Kedudukan masjid ini yang terletak di tepi tasik memberi pemandangan yang agak menarik walaupun senibinanya agak biasa tetapi praktikal dimana terdapat ruang solat di atas dan di bahagian bawahnya adalah ruang serbaguna dimana di bulan ramadan dijadikan ruang makan yang besar. Ruang solat utama dilengkapi dengan penghawa dingin berpusat dan karpet yang lembut. 

Masjid UNITEN

Pandangan tepi

Di sini berbuka terus dengan menu utama iaitu nasi yang dihidang secara buffet. Tetapi tak perlu beratur panjang kerana kaunter makanan banyak walaupun jumlah orang yang berbuka sangat ramai sehingga penuh ruang bawah masjid. Rata-rata terdiri daripada pelajar UNITEN sendiri. Maklum la nak berjimat. Cuma kalau yang datang lewat boleh jadi lauk atau nasi habis. Yang bagusnya di sini, ada orang yang susun kedudukan tetamu dimana seawal pukul 6.45 petang sudah boleh ambil makanan dan tempat duduk bemula barisan hujung dan setelah penuh baru boleh duduk di barisan seterusnya. Nampak sangat teratur dan menjimatkan ruang. Tambahan pula sudah dibahagikan diantara kedudukan muslimin, muslimat dan keluarga. 


Kaunter makanan yang teratur

Menu yang disediakan

Susun atur kaunter makanan juga nampak sangat teratur dan senang untuk mengambil makanan yang mana tidak sesak walaupun jumlah orang yang ramai. Makanan juga menarik dan sedap serta boleh ambil sendiri. Ada orang yang akan jaga kaunter makanan untuk memastikan kelancaran proses mengambil makanan oleh tetamu dan memastikan lauk ditambah sekiranya hendak habis. Lauknya gulai ayam, sayur campur, sambal, buah tembikai dan buah kurma. Walaupun tak banyak jenis, tapi ayam dia agak besar. Air adalah kordial perasa oren. Lepas makan barulah solat maghrib berjemaah. Walaupun ramai, tempat ambil wuduk tidak sesak sangat kerana ada banyak di sekeliling masjid.

Kedudukan tetamu yang tersusun rapi

Betapa ramainya orang berbuka kat sini

Lepas maghrib, ada bacaan al-quran sementara menunggu waktu masuk isyak. Solat terawih kat sini nampak agak ramai kerana hampir penuh ruang solat utama termasuk muslimat. Tapi hanya lebih dua tiga saf sahaja dari solat maghrib untuk muslimin kerana ramainya orang berbuka kat sini. Solat maghrib dan macam solat terawih. Terawih hanya 8 rakaat dan ditambah dengan solat sunat witir, sebelum pukul 10 sudah habis. Bacaan imam dia boleh tahan juga. Moreh tidak disediakan. Jadi, malam ni balik awal.
Jemaah solat maghrib

Masjid Wilayah Yang Sangat Besar

Hari ketiga puasa adalah hari bekerja. Masjid Wilayah Persekutuan yang terletak di jalan duta yang menjadi pilihan untuk berbuka puasa. Walaupun masa keluar pejabat macam hendak hujan, pergi juga dengan pakai siap-siap baju hujan kerana menunggang motosikal. Masjid ni sangat besar sehinggakan waktu terawih tidak sampai separuh jemaah penuh di ruang solat utama walaupun di awal bulan ramadan. Bukan saja besar, sangat cantik dan unik senibinanya berbanding masjid lain di Malaysia. Boleh dikatakan semua ada di masjid ini, sekolah agama, dewan makan, dewan utama, pejabat, dan ada gerai-gerai jualan yang pelbagai. Kalau kali pertama datang boleh sesat dibuatnya. Untuk menjelajah keseluruh masjid boleh membuatkan kaki penat. Besarnya masjid ini sehinggakan ada eskalator kerana ruang solat utama di tingkat atas.

Pandangan di luar ruang solat utama


Ruang solat utama


Sampai masjid dalam keadaan hujan lebat dalam pukul 6 petang. Tempat berbuka di bawah ruang solat utama juga kat atas. Ini bermakna ruang solat tu tingkat 2. Masjid ini mengamalkan berbuka dengan kuih dahulu sebelum makan nasi. kuih dan buah kurma diletakkan terus dalam pinggan diatas tikar dan perlu dikongsi beberapa orang. Namun bukan itu saja, ada juga bubur lambuk dan bubur kacang yang perlu diambil di meja makanan. Bubur kacang tu rasanya orang persendirian yang bawa untuk disedekahkan.

Ruang makan

Menu berbuka


Tempat makan tidak diasingkan di antara lelaki dan perempuan. Boleh duduk dimana-mana sahaja di atas lantai yang dihampar tikar. Agak tidak selesa juga pada pertama kali berbuka di sini dan merasa pelik dengan situasi ini. Tambahan pula kalau datang seorang diri dan tempat sudah penuh, terpaksa cari tempat yang ada lelaki sahaja. Nampak agak tidak teratur bila dicampur lelaki dan perempuan. Masjid besar ini sudah tentu jumlah tetamunya juga ramai. Namun tempat makannya juga luas dan ada dua tempat di kiri dan kanan masjid. Meja tempat ambil makanan dan minuman juga banyak. Masa berbuka tak perlu la beratur untuk ambil makanan.

Ruang makan yang bercampur


Makan nasi selepas solat maghrib dan perlu beratur kerana dihidang secara buffet. Bagusnya buffet, nasi boleh ambil sendiri dan biasanya banyak jenis lauk. Namun hari ini tak berapa banyak kerana salah kaunter. Meja tempat beratur tak cukup satu lauk. Hanya ada gulai ayam, ulam, sambal dan buah epal potong. Telur rebus masak cili tak dapat. Hanya ada di kaunter lain. Tapi syukur la dengan apa yang ada. Masakannya sangat sedap walaupun nampak ringkas. Lepas makan terus berjalan pusing masjid sambil menikmati keindahan senibinanya. Dalam masa yang sama dapat bersenam dan membakar kalori yang berlebihan.

Menu utama yang ringkas


Terawih kat sini dilakukan sebanyak 20 rakaat. Dengan ruang solat utama yang luas, berpenghawa dingin, dan karpet yang lembut, sudah tentu tak menjadi masalah. Tambahan pula sudah disediakan tempat jagaan kanak-kanak bagi yang berkeluarga supaya tidak mengganggu jemaah lain. Cuma kalau hari bekerja, masa yang menjadi penghalang. Imam terawih suaranya seperti dari timur tengah. Suara merdu bacaannya menambah keseronokan berterawih. Namun macam biasa kalau masjid besar, selepas 8 rakaat hanya tinggal 2 atau 3 saf sahaja.

Pemandangan luar di waktu malam

Berbuka Puasa Di Masjid Cyberjaya

Puasa hari kedua agak memenatkan kerana tak sempat bangun sahur. Dari pagi perut sudah berkeroncong. Terus terfikir nak berbuka kat mana petang nanti. Fikir punya fikir, Masjid Raja Haji Fi sabilillah di Cyberjaya yang menjadi pilihan. Ini kerana lokasinya tidak terlalu jauh dan merupakan masjid baru yang besar dan tidak ramai sangat orang. Pukul enam petang bertolak, 30 minit sudah sampai Cyberjaya dari Kajang.

Masjid Raja Haji Fi Sabilillah


Masjid yang menelan belanja 44.3 juta ini telah siap pembinaannya pada 19 januari 2015. Sebuah masjid yang cantik senibinanya serta serba baru. Ruang solat utama dilengkapi penghawa dingin dan ruang solat tambahan sangat luas dan selesa walaupun tiada penghawa dingin. Dihiasi dengan lanskap yang menghijau dan ruang meletak kenderaan yang luas. Tempat mengambil wuduk juga banyak dan dekat dengan ruang solat utama. Di tingkat atas masih ada lagi ruang solat tambahan yang juga dilengkapi tempat mengambil wuduk. 


Di masjid ini, berbuka dengan  kuih dan buah kurma terlebih dahulu sebelum diberikan menu utama iaitu nasi hujan panas untuk hari ini selepas solat maghrib secara berjemaah. Kuih dan buah kurma diletakkan diatas pinggan polisterin secara individu dan perlu ambil di meja hidangan bersama dengan air. Siap dapat air zam-zam lagi di masjid ini walaupun hanya secawan kecil. Kat sini ramai sangat orang asing yang datang berbuka di masjid. Mungkin sebab banyaknya universiti antarabangsa swasta dan syarikat-syarikat besar dari luar. Boleh dikatakan hampir suku macam orang asing berbuka di sini dengan pelbagai ragam kelakuan. Tak ketinggalan yang membawa keluarga berbuka bersama.

Menu Berbuka

Tempat Makan


Selepas solat maghrib, boleh ambil nasi yang telah di pek dalam bekas plastik. Jadi tak perlu la beratur panjang kerana hanya ambil diatas meja sorang satu. Ada juga yang ambil dua. Mungkin untuk kawan atau sebab tak cukup kerana kalau makanan yang siap bungkus ni memang agak sedikit. Lauk dia hanya seketul ayam dan acar timun+nenas sahaja. Kalau buffet biasanya lebih 3 jenis lauk. Nasi boleh ambil sendiri banyak mana mahu. Makan di lantai masjid yang di hampar tikar. Lelaki dan perempuan duduk asing tetapi ada yang bawa keluarga duduk sekali.

Menu utama agk sedikit tapi sedap

Ramainya orang yang datang berbuka kat sini

Terawih kat sini boleh dikatakan agak ramai kerana melimpah keluar dari ruang solat utama. Ramai sangat orang asing kot. Kat sini terawih dibuat sebanyak 20 rakaat. Tapi selepas 8 rakaat hanya tinggal 6 saf sahaja. Imam dia boleh tahan juga bacaannya. Sangat merdu dan mendayu-dayu sehinggakan tak terasa penat. Lepas terawih, ada pula moreh. Malam ni makan kek yang dipotong kecil dengan air perasa sarsi sejuk. Lepas moreh, pukul 11 baru bertolak balik rumah. 

Ruang solat utama selepas 8 rakaat

Sunday, 28 May 2017

Terawih Malam Pertama Ramadan

1 Ramadan 1438 hijrah, masjid pertama yang menjadi pilihan untuk melaksanakan solat terawih adalah Masjid Putra, Putrajaya. Masjid ini menjadi pilihan kerana keselesaannya untuk beribadah serta senibinanya yang cantik. Serta pemandangan sekitar yang menarik yang dikelilingi tasik.

Masjid Putra
  

Hari pertama Ramadan, di mana-mana masjid pun berdekatan kawasan perumahan pasti akan penuh sesak dengan para jemaah. Ada yang sampai melimpah keluar masjid. Kalau masjid yang tiada penghawa dingin, sudah pasti kepanasan kerana terlalu ramainya jemaah. Yang ada penghawa dingin juga mungkin tidak cukup sejuk kecuali yang memasang sistem berpusat. Kalau setakat untuk solat isyak sahaja boleh tahan lagi. Tapi, untuk terawih sekali yang mungkin lebih satu jam, lebih baik cari masjid yang lebih selesa terutamanya di awal Ramadan.



Masjid Putra yang sememangnya luas, walaupun di awal Ramadan tidak sampai separuh pun ruang solat utama dipenuhi jemaah. Dengan dewan solat utama yang dipasang penghawa dingin, karpet lembut, dan jemaah yang tidak melimpah, isu keselesaan sudah pasti tidak menjadi penghalang untuk beribadah. Bukan setakat lapan rakaat, dua puluh rakaat pun tidak terasa penat. Tambah pulak dengan bacaan merdu imam tahfiz yang mengalunkan ayat-ayat suci Al-quran. Walaupun begitu, ramai yang hanya buat lapan rakaat sahaja. Yang buat dua puluh rakaat hanya tinggal tiga saf. Disini bukan isu keselesaan yang menjadi persoalan, mungkin kerana ingin balik awal atau tanya iman masing-masing.

Ruang Legar


Lepas habis terawih, siap ada moreh lagi walaupun untuk malam pertama. Malam ni makan bubur lambuk yang ada daging dalamnya. Rasanya memang sedap tidak seperti di masjid yang lain. Kat sini, setiap jamuan makan disediakan oleh katering. Oleh itu nampak sangat teratur pengurusannya. Makan sambil menikmati pemandangan malam di Putrajaya yang penuh bercahaya sememangnya satu pengalaman yang mengasyikkan. Ini kerana, makanan disediakan di ruang legar sebelah tepi dan kita boleh memilih untuk makan di tempat yang tidak berbumbung. Lepas makan, terus balik kerana jam sudah menunjukkan pukul 11 malam. Mungkin ini bukan malam yang terakhir  ke masjid ini. Ada kesempatan, datang lagi.

Berbuka Di Masjid KLIA(Sultan Abdul Samad)

Puasa hari pertama jatuh pada hari sabtu yang mana juga adalah hari minggu. Masjid yang menjadi pilihan untuk berbuka adalah Masjid Sultan Abdul Samad di KLIA Sepang. Agak jauh juga sebenarnya untuk ke sana dari Kajang. Memandangkan tidak bekerja, boleh la ke sana. Lepas solat asar terus gerak dengan menunggang motosikal yang mengambil masa lebih kurang 35 minit untuk sampai. Lepas sampai, terus meninjau kawasan masjid yang luas lagi indah itu. Sementara menunggu waktu masuk berbuka, lebih elok membaca al-quran terlebih dahulu. Memang itu pun perancangannya datang awal. 


Pintu Masuk Masjid

Masjid ini agak besar dimana keluasan tapak adalah 20 ekar dan keluasan lantai adalah 14977 meter persegi. Manakala keluasan tempat solat 7245 meter persegi yang boleh memuatkan sebanyak 8000 jemaah dalam satu-satu masa. Masjid ini telah siap dibina pada september 1999. Walaupun tidak dipasang penghawa dingin, masjid ini tidak panas kerana keluasan dan ketinggian syilingnya yang membolehkan pengaliran udara yang baik. Tambahan jemaah tidak la terlalu ramai berbanding luasnya masjid ini. Jemaah lelaki hanya sepuluh saf sahaja atau tidak sampai separuh penuh ruang solat utama semasa solat terawikh. Tambahan pula, telah dipasang empat kipas syiling yang besar untuk menambah keselesaan para jemaah.


Parking Depan Yang Luas

Berbuka disini agak biasa sahaja kerana jumlah yang datang tidak terlalu ramai berbanding masjid besar yang lain. Mungkin kerana agak jauh dari kawasan kediaman. Ramai yang singgah untuk pergi kelapangan terbang atau yang bekerja di sana. Jemaah akan makan buah kurma dan kuih dahulu selepas masuk waktu berbuka dan akan makan nasi selepas solat maghrib. Nasi disediakan secara buffet dimana para jemaah akan beratur selepas solat untuk mendapatkan juadah yang disediakan. Agak lama juga beratur kerana hanya satu meja buffet untuk lelaki dan satu meja untuk perempuan disediakan. Kalau tak mahu beratur lama, terpaksalah bergegas bangun selepas solat tanpa sempat baca doa untuk beratur di depan. Tambahan pula seperti jemaah pada tahun ini lebih ramai satu kali ganda dari tahun lepas. Mungkin juga disebabkan cuti sekolah. Menu yang disediakan agak menarik iaitu nasi putih, ayam kurma, sotong masak berlada, ikan masin, sambal, ulam timun/pegaga dan buah tembikai. Walaupun sedap, tidak boleh ambil berlebihan kerana masih ramai yang di belakang. Makan diatas tikar di kaki lima masjid. Walaupun tidak kenal sesiapa, kita masih boleh berbual mesra dengan orang sebelah. Lepas makan, sementara tunggu waktu isyak boleh la layan whatsup sekejap. 


Laluan Utama Dihiasi Taman

Dengan luasnya masjid ini, solat terawih hanya tak sampai separuh ruang solat utama walaupun  di awal ramadan. Ini akan memberi keselesaan kepada para jemaah kerana tak perlu bersesak-sesak. Sepatutnya lebih ramai yang perlu datang sini kerana suasananya yang nyaman dan indahnya senibina masjid ini. Imam terawihnya pula sungguh merdu bacaannya. Solat terawih di sini hanya lapan rakaat. Mungkin kerana kurangnya jemaah. Kalau buat dua puluh boleh jadi hanya tinggal satu saf sahaja. Selepas solat terawih, tidak ada moreh. Tapi itu tidak mengurangkan sedikit pun kelebihan masjid ini untuk berkunjung lagi. 


Jemaah Yang Tidak Ramai